Posted by : Alfarady
Kamis, 27 Desember 2012
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Saya mendapat soalan mengenai orang yang berpuasa tetapi tidak bersolat. Banyak fatwa ditemui dan pelbagai ragam fatwanya.
Ini semua berpaksi kepada hukum
meninggalkan solat dengan sengaja. Apakah jatuh kafir atau tidak.
Sebahagian menyatakan hanya jatuh kafir jika menolak kewajipan solat,
dan berdosa besar meninggalkannya jika masih beriman solat itu wajib.
Sedangkan ada sekelompok ulama yang lain berpegang meninggalkan solat
dengan sengaja jatuh hukum sebagai kafir tidak kira seseorang itu
menolak kewajipan solat atau tidak.
Tidak kiralah yang mana satu
antara kedua pendapat ulama’ ini. Kita mengetahui bahawa paling ringan,
meninggalkan solat ada dosa yang sangat besar. Silap-silap lebih besar
daripada berzina, minum arak dan sebagainya. Boleh jadi ia dosa yang
bawah sedikit sahaja daripada syirik.
Jika membuka aurat, menyebabkan
pahala puasa berkurangan, mengumpat menyebabkan pahala puasa
berkurangan, berbohong menyebabkan pahala puasa berkurangan, lalu apa
lagi jika meninggalkan solat. Puasa kita hanya mendapat lapar dan
dahaga, dan kita menanggung dosa yang sangat besar, yang mana kita
berada di sempadan antara iman dan kufur.
Nasihat saya: Jadikanlah Ramadhan
ini akademi untuk kita melengkapkan kewajipan yang selama ini kita
abaikan. Tidak mengapa jika selepas Isya’ anda mahu pulang tidur,
menonton televisyen, walau itu satu sikap yang tidak elok. Tetapi
sangatlah tercela, jika kita berpuasa, tetapi solat wajib tidak
didirikan. Meninggalkan solat lebih jijik daripada berzina, meliwat,
minum arak, melacur, buka aurat, dating………. Apakah kita mahu puasa kita
sekadar lapar dan dahaga. Puasa apakah ini ketika mana kita malas dan
lalai daripada solat. Puasa apakah ini?
Saya ingin berkongsi fatwa Shaikh
al-Uthaimin. Suka diingatkan beliau berpegang bahawa kafir jika
meninggalkan solat dengan sengaja. Jadi beliau menyimpulkan puasa orang
yang tidak solat, tidak sah. Sifirnya mudah, amalan orang kafir,
semuanya tidak sah. Teruskan membaca agar kita dapat memahami betapa
besarnya dosa meninggalkan solat.
————
Syaikh Muhammad bin Sholih Al ‘Utsaimin -rahimahullah- pernah ditanya: “Apa hukum orang yang berpuasa namun meninggalkan solat?”
Beliau rahimahullah menjawab:
“Puasa yang dilakukan oleh orang
yang meninggalkan solat tidaklah diterima kerana orang yang meninggalkan
solat adalah kafir dan murtad. Dalil bahawa meninggalkan shalat
termasuk bentuk kekafiran adalah firman Allah Ta’ala,
فَإِنْ تَابُوا وَأَقَامُوا
الصَّلَاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ وَنُفَصِّلُ
الْآَيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
“Jika mereka bertaubat,
mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah
saudara-saudaramu seagama. Dan Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi kaum
yang mengetahui.” (Qs. At Taubah [9]: 11)
Alasan lain adalah sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam,
بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكُ الصَّلاَةِ
“Pembatas antara seorang muslim dengan kesyirikan dan kekafiran adalah meninggalkan solat.” (HR. Muslim no. 82)
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam juga bersabda,
الْعَهْدُ الَّذِى بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلاَةُ فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ
“Perjanjian antara kami dan
mereka (orang kafir) adalah mengenai solat. Barangsiapa meninggalkannya
maka dia telah kafir.” (HR. Ahmad, At Tirmidzi, An Nasa’i, Ibnu Majah.
Dikatakan shahih oleh Syaikh Al Albani)
Pendapat yang mengatakan bahawa
meninggalkan solat merupakan suatu kekafiran adalah pendapat majoriti
sahabat Nabi bahkan dapat dikatakan pendapat tersebut adalah ijma’
(kesepakatan) para sahabat.
‘Abdullah bin Syaqiq
–rahimahullah- (seorang tabi’in yang masyhur) mengatakan, “Para sahabat
Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam tidaklah pernah menganggap suatu
amalan yang apabila seseorang meninggalkannya akan menyebabkan dia kafir
selain perkara solat.” [Perkataan
ini diriwayatkan oleh At Tirmidzi
dari 'Abdullah bin Syaqiq Al 'Aqliy; seorang tabi'in. Hakim mengatakan
bahawa hadits ini bersambung dengan menyebut Abu Hurairah di dalamnya.
Dan sanad (periwayat) hadits ini adalah shohih. Lihat Ats Tsamar Al
Mustathob fi Fiqhis Sunnah wal Kitab, hal. 52, -pen]
Oleh karena itu, apabila
seseorang berpuasa namun dia meninggalkan solat, puasa yang dia lakukan
tidaklah sah (tidak diterima). Amalan puasa yang dia lakukan tidaklah
bermanfaat pada hari kiamat nanti.
Oleh sebab itu, kami katakan,
“Solatlah kemudian tunaikanlah puasa.” Adapun jika engkau puasa namun
tidak solat, amalan puasamu akan tertolak kerana orang kafir (disebabkan
meninggalkan solat) tidak diterima ibadah daripadanya.
[Sumber: Majmu' Fatawa wa Rosa-il Ibnu 'Utsaimin, 17/62, Asy Syamilah]
***
Penterjemah: Muhammad Abduh Tuasikal Artikel http://www.muslim.or.id
——————————————-
Ini pula perbahasan ringkas perbezaan ulama’ tentang hukum meninggalkan solat.
Hukum Meninggalkan Solat[1]
Para ulama’ bersepakat bahawa
orang yang meninggalkan solat dengan mengingkari kewajipannya, dia telah
murtad dan kafir. Akan tetapi mereka berselisih pendapat sama ada orang
yang meninggalkan solat kerana malas telah terkeluar daripada Islam
atau masih Islam. Akan tetapi para ulama’ tetap bersepakat meninggalkan
solat adalah dosa yang besar.
Imam asy-Syaukani rahimahullah
berkata bahawa tiada perbezaan pendapat di kalangan umat Islam terhadap
yang meninggalkan kerana mengingkari kewajipannya. Akan tetapi apabilka
meninggalkan solat kerana malas, dan masih meyakini solat lima waktu
wajib, maka di dalam hal ini terdapat perbezaan pendapat.[2]
Terdapat tiga pendapat ulama ke atas orang yang meninggalkan solat kerana malas.[3]
Pendapat pertama: Orang
yang meninggalkan solat wajib dibunuh kerana telah murtad. Ini
merupakan pendapat Imam Ahmad, Sa’id bin Jubair, ‘Amir asy-Sya’bi,
Ibrahim an-Nakhai, Abu ‘Amr, al-Auzai’e, Ayyub al-Sakhtiyani, Abdullah
Ibn al-Mubarak, Ishak bin Rahawiah, Abdul Malik Bin Habib (ulama’ mazhab
Malik), sebahagian pendapat ulama’ mazhab Syafie. Di kalangan sahabat
pula pendapat ini dipegang oleh Umar al-Khattab, Muaz Bin Jabal,
Abdurrahman Bin Auf dan lain-lain.
Pendapat kedua :
Orang yang meninggalkan solat dibunuh dengan hukuman had, akan tetapi
tidak dihukum sebagai kafir. Ini merupakan pendapat Imam Malik, Imam
asy-Syafie, dan salah satu pendapat Imam Ahmad.
Pendapat ketiga:
Orang yang meninggalkan solat kerana malas adalah fasiq (pelaku dosa
besar) dan dia wajib dipenjara sehingga dia mahu menunaikan solat. Ini
merupakan pendapat mazhab Hanafi.
Dalil-dalil Al-Quran tentang orang yang meninggalkan solat
1) Allah Ta’ala berfirman:
فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ
أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ
غَيًّا إِلَّا مَنْ تَابَ وَآَمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا
“Maka datanglah sesudah mereka, pengganti yang mensia-siakan solat dan mengiut hawa nafsu. Mereka akan menemui al-ghoyya, kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh.” (Maryam : 59-60)
Ibnu Mas’ud radiallahu ‘anhu menyatakan bahawa ‘ghoyya’ dalam ayat tersebut adalah sungai di neraka Jahanam yang makanannya sangat menjijikkan dan tempatnya sangat dalam. [4]
Di dalam ayat ini, Allah
menjadikan tempat ini –iaitu sungai di Jahannam- sebagai tempat bagi
orang yang meninggalkan solat dan mengikut hawa nafsu. Seandainya orang
yang meninggalkan solat adalah orang yang hanya melakukan maksiat biasa,
tentu dia akan berada di neraka paling atas, sebagaimana tempat orang
muslim yang berdosa. Tempat ini (ghoyya) merupakan bahagian neraka yang paling bawah. Ia bukanlah tempat orang mukmin, sebaliknya tempat bagi orang kafir.
2) Dalam ayat yang lain, Allah Ta’ala berfirman:
فَإِنْ تَابُوا وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ
“Jika mereka bertaubat, mendirikan solat dan menunaikan zakat, maka (mereka) adalah saudara-saudaramu seagama.” (At Taubah: 11). Di dalam ayat ini, Allah Ta’ala mengaitkan
persaudaraan Islam dengan mengerjakan solat. Ini bermaksud jika solat
tidak dikerjakan, bukanlah saudara seiman. Ia menunjukkan orang yang
meninggalkan solat bukanlah mukmin kerana orang mukmin itu bersaudara
sebagaimana Allah Ta’ala berfirman:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ
“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara.” (Al Hujurat : 10)
Dalil Tentang Orang Yang Meninggalkan Solat Di Dalam Hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam
1) Daripada Jabir bin ‘Abdillah, Rasulullah sollallahu ‘alaihi wassalam bersabda:
بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكُ الصَّلاَةِ
“(Pembatas) di antara seorang muslim dan syirik dan kafir adalah meninggalkan solat.”[5]
2) Daripada Tsauban radiallahu ‘anhu, beliau mendengar Rasulullah sollallahu ‘alaihi wassalambersabda:
بَيْنَ العَبْدِ وَبَيْنَ الكُفْرِ وَالإِيْمَانِ الصَّلَاةُ فَإِذَا تَرَكَهَا فَقَدْ أَشْرَكَ
“Pemisah di antara seorang hamba dengan kekufuran dan keimanan adalah solat. Apabila dia meninggalkannya, maka dia telah syirik.”.[6]
3) Diriwayatkan daripada Muaz bin Jabal , Nabi sollallahu ‘alaihi wassalam bersabda:
رَأْسُ الأَمْرِ الإِسْلاَمُ وَعَمُودُهُ الصَّلاَةُ
”Kepala segala perkara adalah Islam dan tiangnya adalah solat.”.[7]
Di dalam hadis ini, dikatakan
bahawa solat adalah tiang yang menegakkan Islam. Jadi jika roboh tiang
tersebut, maka robohlah Islam.
Para Sahabat Berijma’ (Bersepakat), Meninggalkan Solat adalah Kafir
Umar radiallahu ‘anhu menyatakan:
لاَ إِسْلاَمَ لِمَنْ تَرَكَ الصَّلاَةَ
”Tidak ada Islam bagi orang yang meninggalkan solat.”
Daripada jalan yang lain, beliau berkata:
ولاَحَظَّ فِي الاِسْلاَمِ لِمَنْ تَرَكَ الصَّلاَةَ
“Tidak ada bahagian dalam Islam bagi orang yang meninggalkan solat.”[8]
Ketika Umar menyebutkan perkataan
di atas,beliau sedang menghadapi sakaratul maut, tiada seorang sahabat
pun yang mengingkarinya. Oleh kerana itu, hukum bahawa meninggalkan
solat adalah kafir termasuk ijma’ (kesepakatan) sahabat sebagaimana yang
dikatakan oleh Ibn al-Qayyim dalam kitab As-Solah.
Kebanyakan sahabat Nabi
menganggap bahawa orang yang meninggalkan solat dengan sengaja adalah
kafir sebagaimana dikatakan oleh seorang tabi’in, Abdullah bin Syaqiq.
Beliau menyatakan:
كَانَ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ -صلى الله عليه وسلم- لاَ يَرَوْنَ شَيْئًا مِنَ الأَعْمَالِ تَرْكُهُ كُفْرٌ غَيْرَ الصَّلاَةِ
“Dahulu para sahabat Muhammad
sollallahu ‘alaihi wassalam tidak pernah melihat suatu amal yang
apabila ditinggalkan menyebabkan kafir kecuali solat.”[9]
Al-Imam Ibn al-Qayyim mengatakan, ”Tidakkah
seseorang itu malu dengan mengingkari pendapat bahawa orang yang
meninggalkan solat adalah kafir, padahal hal ini telah disaksikan oleh
Al Kitab (Al Qur’an), As Sunnah dan kesepakatan sahabat. Wallahul
Muwaffiq (Hanya Allah-lah yang dapat memberi taufik).”[10]
[1] Tajuk ini merupakan ringkasan
daripada tulisan Ustaz Muhammad Abduh bertajuk: Dosa Meninggalkan Solat
Fardhu Lima Waktu Lebih Besar Daripada Dosa Berzina. Ia boleh dibaca di
sini http://rumaysho.com/hukum-islam/shalat/2721-dosa-meninggalkan-shalat-lima-waktu-lebih-besar-dari-dosa-berzina-.html
[2] Nailul Author, 1/369
[3] Al-Mawsu’ah Al-Fiqhiyah Al Kuwaitiiah, 22/186-187)
[4] As-Solah, hal. 31
[5] HR. Muslim no. 257
[6] HR. At-Tabari dengan sanad sahih. Shaikh Al-Albani menyatakan hadiss ini sahih. Lihat Sahih At-Targib wa At-Tarhib no. 566
[7] HR. at-Tirmizi no. 2825. Disahihkan oleh Shaikh Al-Albani dalam Sahih wa Dhaif Sunan At Tirmizi
[8] Dikeluarkan oleh Malik. Sa’ad
di dalam At-Thabaqat, Ibnu Abi Syaibah di dalam Al Iman, Ad-Daruquthni
di dalam sunannya,dan Ibn Asakir. Hadis ini sahih, sebagaimana
dikatakan oleh Shaikh Al Albani dalam Irwa’ al-Gholil no. 209
[9] Perkataan ini diriwayatkan
oleh At-Tirmizi daripada Abdullah bin Syaqiq Al ‘Aqli seorang tabi’in
dan al-Hakim menyatakan bahawa hadis ini bersambung dengan menyebut Abu
Hurairah di dalamnya. Dan sanad (periwayat) hadis ini adalah sahih.
Lihat Ats Tsamar Al Mustathob fi Fiqhis Sunnah wal Kitab, hal. 52.
[10] As-Sholah, hal. 56
PERINGATAN
Bukanlah tujuan tulisan ini untuk
menghukum orang lain kafir, atau puasa orang lain tidak sah. Sebaliknya
ia satu muhasabah kepada diri kita. Ulama hanya khilaf kafir atau
tidak, tetapi mereka tidak khilaf ia satu dosa yang SANGAT besar.
Ambillah pengajaran daripada artikel ini untuk kebaikan kita semua.
Wallahua’lam.